Midtown Madness
 
gambar Midtown Midtown Madness merupakan permainan yang diidamkan oleh para peminat kereta lumba arked. Permainan keluaran Microsoft ini nampaknya agak berlainan daripada saudara-saudaranya yang lain iaitu Monster Truck Madness dan Motocross Madness.

Untuk menghasilkan Midtown Madness ini syarikat pereka permainan ini iaitu Angel Studios telah memeta bandaraya Chicago dalam bentuk 3D. Anda akan dapat mengecam beberapa mercu tanda bandaraya itu seperti Soldier Field, Dealy Plaza, Flamingo, dan Buckingham Fountain. Dengan permainan Midtown Madness ini anda boleh berlumba di tengah-tengah bandaraya Chicago tanpa menghiraukan polis, kenderaan lain dan pejalan kaki.

 

Midtown Madness mempunyai koleksi kereta yang unik seperti VW Beetle, Mustang GT, Mustang 60an, Mustang Cruiser, City Bus, Ford F-350, Panoz Roadster, Lincoln Eldorado, Panoz GTR, Freightliner truck dan Ford F150. Setiap satu menawarkan kelebihan dan kekurangan contohnya Beetle adalah pantas, mempunyai kendalian yang baik, boleh menyisip di antara bangunan atau kenderaan lain tetapi mempunyai rekabentuk yang tidak kukuh. Lain pula halnya dengan Ford F350, ia merupakan sebuah kenderaan yang perlahan tetapi mampu bertahan apabila dilanggar. Anda boleh menjelajah seluruh pelusuk bandaraya dan mencari laluan ringkas anda sendiri.

Malah anda juga boleh melepaskan geram anda dengan memilih mod Cruise. Ketika itu hanya anda, kenderaan lain di jalanan, polis dan pejalan kaki sahaja yang akan menentukan nasib masing-masing dalam bandaraya ini. Maka anda boleh melanggar atau menjelajah untuk tujuan membuat “havoc”. Bukanlah ia bertujuan untuk mengalakkan keganasan tetapi segala tindak-tanduk pejalan kaki atau apa sahaja yang anda langgar itu membayangkan teknologi grafik dan kebijaksanaan perisian yang terserlah. Contohnya apabila anda melanggar sebuah gerai menjual akhbar, anda akan dapat melihat penjual dan pelanggannya lari lintang pukang dan barangan jualannya bertaburan di jalanan atau di atas kereta anda.
Dalam mod Blitz pula, ia mencabar anda untuk melanggar semua “checkpoints” yang telah ditetapkan dalam jangkamasa tertentu. Manakala dalam mod Circuit pula anda hendaklah melanggar beberapa “checkpoints” yang berada di luar laluan anda semasa anda melengkapkan beberapa pusingan. Akhirnya dalam mod perlumbaan Checkpoint, di mana seluruh bandaraya akan dijelajah untuk melanggar semua “checkpoint” yang telah ditetapkan. Kesemua mod permainan ini anda perlu cekap, bijak, berani dan kreatif untuk mencapai matlamat anda.

Grafik dalam Midtown Madness adalah memuaskan walaupun tidak tajam dan terperinci. Jika dibandingkan dengan Need For Speed III, permainan ini langsung tidak dapat menyainginya. Walaupun enjin perisian The Monster Truck 2 yang digunakan agak lusuh dan lemah tetapi paparan kemalangan dan aksi perlanggaran kelihatan realistik.
 

Manakala kesan bunyi dan kawalan adalah baik. Untuk mendapatkan rasa yang lebih memuaskan anda boleh menggunakan kayu bedik atau set “steering”. Terdapat juga suara pengulas yang menggunakan loghat Chicago asli di mana ia menambahkan sentuhan humor kepada Midtown Madness. Manakala muzik yang diperdengarkan ialah kuat dan “banging”, jika anda tidak suka anda boleh menutup pembesar suara anda.

Nampaknya kali ini Microsoft telah berjaya dalam pembikinan permainan dengan idea yang bernas seperti permainan ini. Hanya satu sahaja yang perlu dipertingkatkan iaitu paparan grafiknya. Terdapat perancangan untuk membuat sambungan kepada Midtown Madness dan kali ini di bandaraya yang lain pula. Jika anda ingin suatu hiburan ringan Midtown Madness merupakan permainan yang sesuai tetapi jangan pula lakukan aksi seperti ini di bandaraya Kuala Lumpur pula.

Yang menarik : Menyeronokkan, pelbagai pilihan, boleh melakukan aksi yang gila-gila dan Chicago sebagai gelanggang.
Yang kurang menarik : Enjin perisian yang lama.
Kehendak sistem minima : Pentium 200, 32MB RAM, kad grafik 3D, 300MB ruang cakera keras, alat kawalan seperti kayu bedik atau “steering” dan sistem multimedia yang baik.