Plot permainan Shogo ini adalah menarik tetapi agak serius dan banyak cabangnya. Shogo mempunyai dua plot yang mempunyai jalan cerita yang berlainan sehinggalah ke dua pertiga perjalanan permainan. Demi untuk menonjolkan keunikannya, Shogo tidak mempunyai sebarang persamaan dengan permainnan-permainan popular seperti Hexen, Heretic, Descent, Descent II, Quake, Quake II, atau Hexen 2 (termasuk versi demo Heretic II).
Watak yang anda pegang dalam Shogo
adalah sebagai Sanjuro Makabe yang telah melalui pelbagai ranjau dan cabaran
sepanjang hidupnya. Sanjuro adalah pegawai pemerintah termuda di dalam
UCA Security Force tetapi beliau masih teringatkan kisah lama yang memilukannya
di mana beliau kehilangan tiga anggota pasukannya dalam satu operasi. Salah
seorang daripadanya adalah kekasih beliau yang bernama Kura Akkaraju yang
juga anak perempuan kepada Admiral di UCA. Seorang lagi yang hilang dalam
operasi tersebut ialah adik Sanjuro iaitu Toshiro yang sering merendahkan
diri dan juga cemburukan hubungan Sanjuro dengan Kura. Sejarah silam Sanjuro
ini menambahkan emosi ke dalam permainan ini lebih-lebih lagi semasa permainan
ini berubah dari satu tahap ke satu tahap.
Kisah cinta dalam Shogo menjadi bertambah komplikated apabila Sanjuro bercinta pula dengan kakak Kura yang bernama Kathryn. Selepas kematian ibunya, Kathryn telah memilih untuk tidak menyertai anggota skuad UCA kerana beliau percaya kematian ibunya adalah berpunca daripada kedegilan bapanya yang mahu menjaga posnya ketika perang. Watak-watak yang lain dalam Shogo adalah Admiral Akkaraju; Ryo Ishikawa (pewaris empayar perniagaan Shogo Industries); Buka Ogata; Hank Johnson (juruterbang muda); Gabriel (ketua pemberontak) dan Cronus.
Kepermainan
Monolith telah membentangkan ciri kepermainan Shogo dalam bentuk "anime" yang digabungkan dengan permainan aksi. Segala tahap permainan dikaitkan dengan skrip yang disusun dalam aliran cerita yang telah ditetapkan iaitu tugas Sanjuro untuk menebus kesalahannya. Hampirt kesemua tahap permainan dalam Shogo kelihatan lebih tertutup berbanding dengan Quake atau Quake II dan ia tidak mempunyai sistem hub seperti dalam Hexen atau Hexen II.
Terdapat antara 30 hingga 35 tahap dalam Shogo dan jumlah ini tidak termasuk laluan alternatif. Antara tahap-tahap yang terdapat dalam Shogo adalah Oshii Research Station, A New Insight, Public Nuisance dan History of Warfare. Ada terdapat tahap yang pendek dan pantas diselesaikan tetapi ada juga tahap yang panjang dan menyusahkan. Gabungan ritma permainan seperti ini adalah baik untuk memberikan ciri-ciri saspen dan aksi kepada Shogo. Satu lagi daya tarikan Shogo adalah rangka kerja yang linear dengan interaksi antara watak-watak dan kekuatan motif dalam setiap watak sepanjang permainan sedang berjalan. Gabungan segala ciri-ciri ini menjadikan Shogo sebuah permainan yang tidak dapat diramal apa yang bakal berlaku dalam setiap tahap.
Cerita Shogo berkembang dalam tiga cara. Pertama, seperti yang telah dinyatakan di atas tadi. Kedua, melalui semua paparan permainan pada pertengahan permainan dalan tahap-tahap tertentu. Segala komunikasi watak yang dilakukan dalam Shogo dilakukan dalam pelbagai cara antaranya melalui "com-link" yang terletak pada sudut atas kiri skrin; kamera bergerak untuk memberikan anda maklumat yang penting dan berborak dengan watak disebelah anda. Ketiga, tahap terakhir dalam cerita ini berlaku dalam masa nyata menerusi perbualan semasa anda bergerak sekeliling tahap. Dua corak komunikasi lain adalah dialog watak masa nyata dan kemunculan paparan dialog di atas kepada watak-watak.
Visual Shogo
Shogo mempunyai paparan 3D yang cantik dan menarik. Ia menggunakan enjin perisian LithTech, DirectX 6.0 dan ia menyokong 3DFX atau Direct3D berasaskan kad grafik. Pemandangan dalam Shogo merupakan antara yang paling menarik dalam permainan komputer. Rekabentuk dan suasana Shogo seperti permukaan planet, daerah Shinara, rekabentuk dalaman kapal angkasa dan muzium-muzium adalah menarik dan sesuai dengan tema permainan ini. Penggunaan tekstur dan aksi kamera yang baik juga memberikan kesan kepada kepermainan Shogo. Semasa aksi tembak-menembak anda akan berada dalam dua situasi samada menggunakan kenderaan Mech atau berjalan kaki di atas bumi. Kedua-dua situasi ini memaparkan perbezaan skrin pada tahap ketinggian 30 kaki dan enam kaki tinggi. Kedua-duanya memberikan pengalaman yang berbeza dan menarik. |
Keseluruhan permainan Shogo merupakan sebuah produk yang telah dipersembahkan dengan baik. Elemen-elemen muzik dalam Shogo telah dirakamkan dan dibangunkan di Jepun. Gaya "anime" Jepun yang dipaparkan sesuai dengan segala elemen bunyi dalam Shogo tetapi adakalanya terdapat pengulangan yang membosankan. Namun begitu secara keseluruhannya ia dapat menyesuaikan muzik dengan mood permainan samada sedih, takut, gembira atau ngeri.
Kesan bunyi seperti letupan dan tembakan adalah bagus, selari dengan aksi dan sesuai dengan jenis senjata yang digunakan. Gabungan pelbagai kesan bunyi suasana seperti bunyi kenderaan anda, bunyi keretapi, jeritan orang ramai dan pergerakan Mech juga jelas kedengaran dan ini memberikan satu kesan yang baik. Malah jika anda berada dalam kapal angkasa bunyinya juga agak bergaung dan bunyi enjin kapal juga jelas kedengaran. Dalam pada itu juga, suara watak juga jelas dan baik tetapi loghatnya telah cuba diubah kepada loghat Inggeris Amerika walaupun suara watak tidak seperti itu.
Aksi
Anda akan dibekalkan dengan sebuah kenderaan Mech dan beberapa jenis senjata yang boleh anda gunakan ketika berhadapan dengan musuh. Segalanya anda akan dapati satu persatu semasa anda melalui tahap-tahap yang telah ditetapkan. Secara amnya Shogo adalah menarik dan sesuai dengan selera anda yang sukakan aksi tembak-menembak.
Pro : Jalan cerita yang menarik.
Paparan 3D dan grafik yang menarik. Terdapat 15 tahap Deathmatch. Anda
boleh memandu sebuah Mech.
Kontra : Memerlukan perisian
tambahan sebanyak 7MB untuk musuh dan tambahan 10MB untuk tahap tambahan.
Memerlukan kad grafik yang baik.
Kehendak sistem minima sekurang-kurangnya
Pentium 200MMX dengan 100MB ruangan cakera keras, 32MB RAM, pemacu CD-ROM
8X, sistem pengoperasian Windows 95/98 dan DirectX 6.0.