Fallout 2

Fallout versi pertama merupakan salah sebuah permainan yang terbaik untuk tahun 1998. Sehingga kini ia masih belum digugat dalam sejarah permainan genre CRPG (Character Role Playing Game). Malah enjin perisiannya merupakan yang tercanggih ketika itu dalam genre CRPG dan tiada sebarang perisian lain yang mampu mengugat permainan Fallout ini. Kini muncul pula Fallout 2 yang masih menggunakan enjin perisian yang serupa dengan Fallout yang pertama dan ia dipertingkatkan dengan jayanya untuk memberikan satu keaslian serta kelainan.

Fallout 2, mempunyai wajah yang serupa dengan yang pertama dan ia mempunyai empat jenis mod pemasangan. Pemasangan Large memerlukan saiz 270MB, Tiny (2MB), Humongous (650MB) dan Medium (200MB). Saiz-saiz pemasangan yang berlainan memberikan kesan semasa anda bermain kerana lebih kecil saiz pemasangan lebih lama masa yang diambil untuk memuatkan perisian ke dalam memori. Tetapi semasa berlakunya peperangan dengan musuh anda tidak akan mengalami sebarang gangguan walaupun saiz pemasangan anda kecil.

Mulakan

Permainan ini dimulakan dengan paparan klip pendek Evil Intro dan secara tidak langsung ia akan membuatkan anda terfikir apakah situasi yang anda akan hadapi dalam permainan ini. Sekilas pandang ia masih seperti permainan lama di mana tiada sebarang kesan keganasan dipaparkan sepanjang permainan. Malah ada tikanya wajah kanak-kanak muncul dalam permainan ini, membuatkan anda terfikir apakah motif sebenar permainan ini. Oleh kerana enjin yang sama telah digunakan dalam Fallout 2 maka ia juga masih menggunakan pandangan isometrik yang biasa digunakan pada permainan strategi.

Enjin yang digunakan telah membuktikan bahawa ia mampu berfungsi dengan baik dan mempunyai antaramuka yang matang serta tidak perlu diubahsuai. Malah kini Fallout 2 telah ditambah dengan ruangan-ruangan tersembunyi yang lebih komplikated untuk dicari oleh pemain. Contohnya dalam Vault City terdapat sebuah bilik tersembunyi di sebalik dinding dan ia memerlukan masa yang lama untuk dicari. Satu lagi peringatan yang penting ketika bermain Fallout 2, ialah jangan jatuhkan sebarang barangan yang anda bawa di belakang kereta, kerana anda tidak akan dapat mendapatkan semula barangan itu. Malah anda juga hendaklah berhati-hati kerana tidak semua dinding atau ruangan mempunyai keupayaan telus (transparent).

Dalam Fallout 2 anda akan mendapat sebuah kereta pada permulaan permainan dan ini adalah sesuatu yang baru berbanding dengan Fallout yang pertama. Ini   merupakan sebuah peningkatan utama dalam kepermainannya di mana anda akan berpeluang untuk menjadi seorang pahlawan jalan ala "Mad Max".

Sebuah lagi peningkatan dalam Fallout 2 adalah dari segi pemilihan senjata. Kini terdapat lebih banyak senjata dan jenis peluru untuk anda pilih. Ini akan memberikan anda pilihan yang memuaskan untuk memilih senjata mana yang sesuai untuk sesuatu tahap tersebut. Selain daripada itu terdapat pelbagai barangan daripada barangan beku hinggalah ke pinggan mangkuk. Peralatan pelindungan juga telah dipertingkatkan kuasa dan variasinya. Senjata juga boleh ditingkatkan dengan peluru tambahan dan teropong malam serta senjata tambahan seperti Mega Powerfist.

Watak

Dalam Fallout 2 ini, watak-watak telah ditambah bagi menambahkan ciri kepelbagaian permainan ini. Semua watak kini lebih bijak dan berkuat contohnya Marcus (mutant paling kuat), Vic The Mentia (ketua mafia) dan Sulik (watak paling kecoh dalam Fallout 2!). Lain-lain watak pasif juga telah ditambah keupayaannya sehingga mampu bertarung dan rupa mereka juga telah dipercantikkan lagi. Anda boleh berikan sebarang jenis senjata kepada watak-watak ini dan mereka akan bertindak dengan sedaya upaya mereka untuk bertarung. Malah mereka juga mampu menyembuhkan diri mereka sendiri apabila mengalami kecederaan.

Permainan kali ini juga telah bertambah luas dari segi geografi dan kini ia berlaku di California Utara berbanding dengan Fallout yang pertama yang berlaku di California Selatan. Satu lagi peningkatan dalam Fallout 2 adalah keluasan permainan telah ditambah kepada 18 kawasan yang dipetakan dan 100 misi untuk diselesaikan. Antara tahap yang menarik dalam Fallout 2 adalah Living Anatomy, Gravedigger dan Childkiller.

Jalan cerita dalam Fallout 2 adalah menarik, ringkas dan bersemangat. Segala tahap dalam permainan ini adalah terbuka dan ia mempunyai "dunia" yang kaya dengan aksi dan misi. Anda berpeluang untuk menjelajah setiap sudut ruang "dunia" Fallout 2 dan kembali kepada misi anda pada bila-bila masa. Terdapat beberapa paparan animasi dalam beberapa tahap permainan dan terdapat juga mata-mata yang perlu dipungut oleh anda untuk melengkapkan kepermainan anda. Setiap pertarungan yang anda lalui hendaklah dilalui dengan berhati-hati tetapi anda pasti akan dapat melaluinya kerana ianya tidaklah sesusah mana. Pada penghujung permainan ini anda akan bertarung engan Master Villian yang mampu menghidangkan sebuah aksi pertarungan yang mencabar. Dengan latihan-latihan yang telah anda lalui menerusi tahap-tahap sebelumnya maka anda pasti akan dapat menewaskan ketua penjahat ini. Jika anda bernasib baik anda langsung tidak akan berhadapan dengan Master Villian sehingga tamat permainan, seperti apa yang pernah dikhabarkan kepada saya oleh beberapa "gamers".

Penghujung jalan

Fallout 2 adalah sebuah permainan yang baik dan menghiburkan. Secara keseluruhannya anda akan mengambil masa tiga minggu untuk menamatkan keseluruhan permainan (jika anda boleh tamatkan lebih awal khabarkan kepada saya). Nampaknya Fallout 3 akan ditunggu-tunggu dengan penuh debar dalam masa setahun dari sekarang dan saya pasti ia adalah lebih hebat lagi.

Pro : Antaramuka dipertingkatkan. Misi yang lebih hebat dan "dunia" yang lebih canggih. Permainan yang seimbang dan tidak jemu untuk diulang. Keterbukaan permainan yang luas.
Kontra : Terdapat pepijat pada keluaran pertama perisian.
Kehendak sistem : Windows 95/98, sekurang-kurangnya Pentium 233MMX, memori 32MB RAM, 275MB ruangan cakera keras, pemacu CD-ROM 8X dan sistem multimedia yang baik.