Actua Soccer 3

Soccer adalah panggilan loghat Amerika Syarikat untuk Football atau bolasepak. Semenjak Amerika menjadi tuan rumah kejohanan Piala Dunia 1994, bolasepak telah berjaya diterima sebagai sebuah sukan yang ketiga terbesar selepas Baseball dan American Football. Permainan ini merupakan turutan ketiga dalam siri Actua Soccer dan ia merupakan salah sebuah tajuk yang popular selain FIFA World Cup '98 dan Football Manager. Saya kurang meminati permainan-permainan seperti ini kerana ia merupakan salah sebuah permainan yang kurang "umph" dari segi  realismenya dan juga kurang menarik dari segi grafiknya. Namun begitu ia adalah sebuah alternatif yang baik kepada permainan perlumbaan seperti Need For Speed atau Moto Madness.

Permulaan

Actua Soccer 3 mempunyai pelbagai jenis ciri pilihan untuk anda gunakan. Ia mempunyai sejumlah 450 pasukan dan 10,000 pemain yang telah dikaji keupayaannya menurut satu ukuran. Samada kajian ini dilakukan dengan sebenar-benarnya saya kurang pasti. Anda boleh membina skuad bola anda sendiri bersama-sama jersi untuk perlawanan tempat sendiri dan di tempat lawan. Setelah melakukan pemilihan pemain, anda boleh melakukan pemilihan jenis permainan iaitu persahabatan, latihan, liga atau piala kejohanan. Dalam permainan liga anda boleh menentukan sendiri jumlah pasukan dan jadual perlawanan atau anda boleh menggunakan sistem liga yang telah disediakan dalam perisian. Ia juga menyediakan jadual untuk liga bagi mengetahui kedudukan anda dan pasukan-pasukan lain dalam liga. Bukan itu sahaja, ia juga mempunyai pasaran pertukaran pemain untuk anda mendapatkan pemain pasukan lain jika anda mahu. Dalam ciri kepermainan pula anda boleh bermain sendirian atau dengan rakan-rakan anda melalui modem, talian bersiri, LAN atau sambungan Internet.

Terdapat tiga tahap kepayahan dalam Actua Soccer 3 iaitu amatur, semi-pro dan pro. Anda juga mempunyai pilihan untuk menentukan bentuk kepayahan yang anda mahu. Contohnya walaupun anda memilih untuk bermain dalam tahap pro tetapi anda masih boleh mendapatkan bantuan ketika melakukan sepakan. Sebelum dan ketika bermain, anda menguasai keseluruhan pasukan itu termasuk menentukan pemain gantian, formasi, gaya pertahanan dan corak serangan dalam sesebuah perlawanan. Jika anda tidak puas hati dengan persembahan salah seorang pemain, anda boleh menukarnya dengan pemain lain atau mendapatkan pengganti dengan membeli pemain baru. Semuanya bergantung kepada anda. Untuk mendapatkan kepermainan yang baik anda boleh menggunakan pad permainan lapan bebutang kerana ia mampu mengawal pergerakan khas seperti tendangan silang, terjunan, tandukan dan beberapa corak rampasan bola.
 

Mula bermain

Kepermainan Actua Soccer 3 adalah mencabar dalam semua sudut permainan. Kadar kepantasan permainan sesebuah perlawanan adalah lebih pantas berbanding dengan FIFA'98. Segalanya bergantung kepada kepantasan anda berfikir untuk melakukan pergerakan dan tidak hanya bergantung kepada perisian sepenuhnya. Segala serangan dan pertahanan dilakukan seperti yang dilakukan pada permainan sebenarnya. Tidak terdapat sebarang kesilapan yang ketara dalam enjin perisian seperti pergerakan yang terlalu pantas bagi para pemain.

Satu kelemahan ketara dalam Actua Soccer 3 adalah kepayahan untuk memahirkan diri anda dengan kawalannya. Mod amatur yang disediakan memberikan anda beberapa latihan kemahiran tetapi apabila anda meningkatkan kepada mod semi-pro maka ia memerlukan sebuah kecekapan yang lebih tinggi. Malah kecekapan pemain lawan juga adalah berlainan ketika anda naik ke semi-pro daripada amatur. Anda akan dapat merasakan pergerakan pemain lebih pantas dan cekap mengendali bola. Anda juga boleh mengalahkan sebarang pasukan samada dalam tahap semi-pro atau pro setelah anda dapat membiasakan diri dengan pergerakan permainan.

Kesan grafik

Actua Soccer 3 mempunyai grafik yang agak realistik dan ia merupakan yang terbaik dalam siri permainan sukan Actua seperti Actua Soccer 2 atau Actua Golf 2. Pergerakan pemain adalah baik apabila dilihat daripada jauh walaupun kawalannya tidak memuaskan. Pergerakan pemain di atas padang harus ditingkatkan lagi kerana kelicinannya agak kurang sedikit. Satu yang menarik ialah pemain-pemain mempunyai rupa bentuk dan warna kulit yang berlainan.

Setiap perlawanan diadakan dalam sebuah stadium dan Actua Soccer 3 mempunyai koleksi stadium-stadium yang terbaik di seluruh dunia. Selain daripada stadium-stadium, suasana dan keadaan cuaca juga memainkan peranan dalam Actua Soccer 3. Anda boleh mendengar jeritan dan nyanyian para penyokong di sekeliling stadium. Semasa bermain anda juga boleh mengalami keadaan cuaca seperti cerah, mendung, hujan, bersalji dan berkabus. Perlawanan yang diadakan pada waktu malam adalah yang paling menarik kerana anda dapat melihat bayangan pemain dan cahaya lampu yang menyinari stadium.

Wisel penamat

Actua Soccer 3 tidak mempunyai sebarang persamaan dengan Actua Soccer 2 dan ia cuba membina modelnya yang tersendiri serta cuba menyelesaikan masalah-masalah  yang telah timbul dalam Actua Soccer 2. Boleh saya katakan Actua Soccer 3 merupakan sebuah permainan yang 99.9 peratus sempurna! Jika ada sebuah anugerah untuk permainan sukan, ianya harus diberikan kepada Actua Soccer 3.

Pro : Grafik menarik. Lebih realistik. Peningkatan dalam persembahan perisian.
Kontra : Pergerakan adakalanya terbantut. Kepermainan masih pantas walaupun agak perlahan berbanding dengan Actua Soccer 2.
Kehendak sistem minima : Pentium 233MMX, 32MB RAM, 200MB ruangan cakera keras, 8X pemacu CD-ROM, sistem multimedia yang baik, pad permainan, Windows 95/98 dan fanatik bolasepak.