Pada bulan Oktober nanti, negara
kita akan menjadi penganjur kepada salah satu acara sukan lumba yang terbesar
di dunia iaitu perlumbaan Formula 1 (F1). Dengan itu saya telah mengulas
sebuah permainan F1 yang diberi nama Official Formula 1 Racing (OF1R).
Permainan ini dibina daripada maklumat pasukan, pelumba serta litar kejohanan
Formula 1 tahun 1998 yang mana ia juga memaparkan pasukan Petronas Sauber.
Sekarang mari kita baca ulasan seterusnya.
OF1R menawarkan beberapa jenis ciri perlumbaan yang berlainan seperti Quick Race, Single Race, Practise Race dan Championship. Quick Race membolehkan anda pergi ke sebarang litar yang anda mahu dan berlumba seberapa banyak pusingan yang anda mahu. Single Race pula adalah menyerupai Quick Race tetapi anda diberi pilihan untuk memilih pasukan anda, memilih tahap permainan dan ciri-ciri perlumbaan lain. Practise Race pula membenarkan anda melakukan ujian pemanduan di sebarang litar pilihan anda. Akhir sekali ialah Championship iaitu siri perlumbaan yang sebenar dalam OF1R dan anda berlumba dalam litar-litar yang disediakan untuk mengutip seberapa banyak mata yang boleh. |
Dalam Championship, anda boleh melihat litar-litar sebelum berlumba dengan menggunakan sebuah helikopter dan mendapatkan tip tentang litar-litar itu. Anda juga boleh melakukan latihan dengan memandu mengelilingi litar untuk mengenali corak litar tersebut. Selain dari itu juga anda boleh melakukan pemanduan “warm up” dan merekodkan masa untuk dibuat perbandingan semasa perlumbaan.
Semasa berlumba anda akan mendapat bantuan daripada beberapa ciri permainan. Contohnya, jika anda terbabas, sebuah anak panah akan muncul dan memberitahu anda arah yang perlu diikuti. Dengan itu anda tidak perlu membuang masa untuk mencari arah. Kemudian jika anda mengalami kemalangan dan mengalami kerosakan kecil, jika kereta anda masih boleh dipandu maka anda boleh balik ke “pit”. Jika kereta anda mengalami kerosakan yang serius maka secara teknikal perlumbaan anda telah tamat.
Anda akan kerap mendapat mesej daripada
pasukan sokongan anda semasa berlumba. Mesej-mesej tersebut adalah mengenai
kerosakan, panggilan masuk ke “pit” dan ukuran masa anda pada pusingan
terkahir. Oleh kerana mesej-mesej ini dikeluarkan berdasarkan statistik
pemanduan anda, maka adakalany ia melakukan pengulangan atau timbul pada
masa yang kurang sesuai. Contohnya anda akan mendapat mesej “tukar tayar
baru” selepas anda melengkapkan pusingan pertama.
Anda boleh memilih sudut pandangan
ketika memandu iaitu pandangan luaran kereta, pandangan helikopter dan
pandangan dari dalam kereta. Pandangan dari dalam kereta adalah lebih
sesuai kerana anda boleh melihat jalan litar dengan lebih jelas.
Kawalan kereta juga boleh dibentuk dan anda diberi pilihan antara penggunaan “steering”, kayu bedik (joystick) dan papan kekunci. Penggunaan kekunci pada papan kekunci adalah mudah dan kedudukannya boleh diubah jika anda tidak selesa dengannya. Anda juga boleh memilih jenis bahasa yang anda mahu seperti Inggeris, Perancis, Jerman, Itali dan Sepanyol. Selain daripada itu anda boleh menukar ukuran-ukuran yang ada menurut kehendak anda seperti ukuran jarak (kilometer atau batu), ukuran petrol (liter atau gelen) dan unit suhu (celcius atau fahrenheit). |
Antaramuka menu yang dipaparkan oleh OF1R adalah kurang memuaskan kerana ia susah hendak dicapai. Contohnya penentuan pasukan, pelumba, kereta dan litar diletakkan berasingan dan anda hanya boleh menggunakan tetikus sahaja. Permainan ini menyokong sehingga 12 pemain melalui rangkaian, modem dan Internet.
Official Formula 1 Racing adalah
sebuah permainan yang menyeronokkan. Cara perisian mengendalikan pencirian
kenderaan dan melakukan perubahan teknikal kepada kereta adalah memuaskan.
Walaupun terdapat beberapa masalah kecil dari segi antaramuka tetapi OF1R
adalah sebuah permainan yang patut dimiliki oleh para peminat permainan
perlumbaan.
Pro : Kepermainan, pelbagai pandangan, keupayaan menukar spesifikasi kereta. | Kontra : Menu yang mengelirukan. | Kehendak sistem minima : Pentium 233MHz, memori 32MB RAM, 20MB ruangan cakera keras, 8x cakera keras, kayu bedik atau papan kekunci atau “steering” dan sistem multimedia yang baik. |