Permainan Corsairs telah dihasilkan
oleh Microids dan ia merupakan sebuah permainan strategi yang mengisahkan
peperangan di zaman peperangan Perancis dan Britian pada pertengahan abad
ke 19. Anda akan memegang watak sebagai seorang nakhoda dan mengetuai armada
anda untuk menakluk sesuatu pengkalan atau mendapatkan harta karun. Anda
akan diberi dua watak pilihan iaitu Cartier (Perancis) dan Captain Blood
(Britain) dan memulakan pelayaran dengan kapal laut anda dengan membawa
sebuah kertas yang mengandungi misi-misi anda.
Tugas pertama anda ialah untuk membentuk
sebuah angkatan laut yang baik, setelah itu memulakan pelayaran dengan
lebih jauh lagi. Ini boleh dicapai setelah anda berlabuh di salah sebuah
pusat perdagangan dan membina sebuah penempatan di sana. Setelah itu anda
boleh memilih salah satu daripada 12 kapal yang disediakan di mana setiap
satunya berbeza dari segi bilangan meriam, jumlah muatan, bilangan anak
kapal, kelajuan dan ketahanan.
Untuk mendapatkan sebuah kapal yang
lengkap, anda perlu membayar dengan harga yang tinggi. Walaupun wang anda
telah kehabisan wang ketika membeli kapal tetapi anda pasti akan mendapat
pulangan apabila berjaya menjual barangan seperti sutera, kopi, tebu, barang
kemas dan herba atau terjumpa harta karun di tepi pantai. Setelah berjaya
membentuk sebuah armada, kini sudah sampai masanya untuk anda menjalankan
misi-misi seperti berperang dengan lanun, menyerang pusat perdagangan musuh
dan mencari harta karun.
|
Saya tertarik dengan jalan ceritanya
ketika membaca daripada sebuah majalah permainan komputer. Corsairs adalah
sebuah permainan strategi yang dinamik tetapi rekabentuk produksi permainan
ini agak mengecewakan, kerana ia berasaskan lukisan kartun yang kurang
artistik. Microids mungkin cuba meletakkannya sebagai sebuah permainan
yang menggunakan kartun artistik tetapi ia gagal. (Maksud artistik di sini
ialah kartun yang dilukis seperti Batman atau X-Men). Kesan bunyi dalam
Corsairs seperti peperangan, suara watak-watak dan muzik latar agak mengecewakan
kerana ia kurang jelas dan agak hambar. Namun begitu saya akui bahawa muzik
latarnya agak menarik dan sesuai dengan jalan cerita Corsairs.
Antaramuka Corsairs juga adalah
satu lagi bahagian yang telah melumpuhkan permainan ini. Antaramuka dalam
Corsairs banyak melakukan pengulangan sehinggakan anda boleh merasa bosan.
Contohnya anda perlu berlabuh sebanyak dua kali untuk membolehkan anda
menjual atau membeli dengan banyak kerana perlabuhan pertama membolehkan
anda menjual sebahagian sahaja barang dagangan anda. Kemudian anda perlu
melakukan pemunggahan menurut sukatan yang telah ditetapkan, contohnya
jika anda mempunyai 55 tan tebu, anda perlu mengklik tetikus anda sebanyak
55 kali sehingga semua tebu itu habis dipunggah. Bayangkan jika anda mempunyai
2000 tan barangan, anda perlu mengklik sebanyak 2000 kali!
Semasa berperang juga tidak realistik kerana watak-watak tidak dapat bergerak dengan lancar walaupun di bawah kawalan pemain. Contohnya anak kapal anda, tidak dapat bertindak dengan pantas semasa diserang musuh sehingga membuatkan anda cemas. Enjin perisiannya juga tidak dapat membezakan kelajuan antara kapal-kapal yang disediakan kedua-dua buah kapal itu tidak jauh berbeza di antara satu sama lain. |
Corsairs adalah sebuah permainan
strategi yang agak mengecewakan kerana terdapat kelemahan ketara dari segi
grafik, kesan bunyi dan antaramuka. Keseluruhan permainan ini tidak mampu
memberikan kepuasan kepada saya atau peminat permainan strategi yang lain
walaupun ia mempunyai jalan cerita yang baik.
Pro : Jalan cerita yang menarik. | Kontra : Grafik, kesan bunyi dan antaramuka yang lemah. | Kehendak sistem minima : Pentium 233MHz, 32 MB RAM, 8x kelajuan CD-ROM, mod video VGA dengan 4MB memori video, 100MB ruangan cakera keras, tetikus dan sistem multimedia. |