System Shock 2

Sudah lama permainan seperti System Shock 2 tidak berada di pasaran yang mana ia telah berjaya mengabungkan aksi, suasana dan permainan watak. Ia juga berjaya meletakkan pemain dalam sebuah dunia lain walaupun berhadapan dengan paparan monitor yang datar. Jika dibandingkan dengan Half Life iaitu permainan yang berjaya mendapat anugerah permainan terbaik tahun 1998, System Shock 2 berjaya menyaingi Half Life dalam beberapa segmen permainan seperti kepermainan dan jalan cerita.

Enjin

System Shock 2 telah dibina oleh Irrational Games dengan menggunakan enjin permainan Thief iaitu enjin yang telah dibina oleh Looking Glass. System Shock 2 bermula dengan sebuah prolog pendek dan kemudian anda diminta untuk memilih skil asas watak dan akhirnya anda berada di atas sebuah kapal angkasa. Salah satu watak jahat yang berada di atas kapal angkasa itu ialah Shodan iaitu sebuah watak berkomputer yang jahat dan ganas. Watak Shodan ini merupakan watak seorang perempuan yang berjaya dihidupkan kembali setelah ia ditewaskan dalam System Shock pertama.

Kisah System Shock 2 bermula setelah sebuah kejadian besar berlaku dan mengakibatkan seluruh dunia menjadi padang jarak padang terkukur. Daripada jurnal watak asal System Shock pertama iaitu Tommy dan Rebecca, anda akan dapat mengetahui apa yang telah berlaku. Segalanya disampaikan dalam penceritaan dalam suara yang mengerunkan tetapi seronok untuk didengar.
 

Watak

Dalam System Shock 2 anda akan boleh meningkatkan skil anda sepanjang permainan dan sistem skil dalam System Shock 2 diseimbangkan secara pantas dan cekap oleh perisian. Contohnya skil seperti Hacking dan Repair adalah antara skil yang perlu ada dan sangat berguna semasa permainan. Namun begitu terdapat beberapa skil yang langsung tidak boleh digunakan dan tidak membantu dalam perkembangan permainan.

Dalam setiap tahap permainan terdapat Model Siber (Cyber Modules) yang diberikan apabila berjaya melengkapkan beberapa objektif dan barangan tersembunyi yang terdapat di dalam sesuatu tahap itu. Pemain tidak akan dinaikkan ke tingkat tahap yang lebih tinggi tetapi dipertingkatkan keupayaan atau kuasa untuk digunakan pada segmen yang seterusnya. Selain daripada Hacking dan Repair terdapat skil seperti Modification, Maintenance, Research, Strength, Endurance, Agility, Research dan Cyber Affinity.

System Shock 2 juga menyediakan beberapa cara untuk menyelesaikan masalah dan biasanya hampir semua cara yang dicadangkan itu berjaya membantu anda. Selain itu kebanyakan masa perjalanan anda dalam permainan ini akan dihabiskan dengan berkonfrontasi secara berdepan dengan musuh. Manakala penggunaan skil pula memerlukan keupayaan khusus serta penggunaan senjata yang cekap. Senjata yang disediakan pula tidak terhad menurut watak dan terdiri daripada pelbagai jenis serta keupayaan.

Ketika bergerak dalam System Shock 2 anda perlu bijak mengatur strategi penggunaan senjata dan keperluan anda. Jika anda tidak mampu mengendalikannya dengan baik maka ada kemungkinannya anda akan kehabisan sumber dan ditewaskan oleh musuh dengan cara yang mudah.

Oleh kerana permainan ini bukan merupakan permainan tembak-menembak keseluruhannya maka anda masih boleh menggunakan kebijaksanaan untuk menjimatkan tenaga dan peluru. Kepermainan dalam System Shock 2 adalah berkisar tentang ketakutan dan kehendak yang mendesak Secara amnya ia berkaitan dengan ketahanan diri dan keupayaan untuk bertahan lama. Contohnya apabila anda dikepung dalam satu tempat yang sempit dan hanya mempunyai bekalan senjata yang terhad maka anda hendaklah bijak memusnahkan musuh dengan segala kudrat yang ada.

Sistem negatif

Suasana dalam System Shock 2 dibina dengan lengkap dan terperinci tetapi ia kelihatan agak kabur. Tekstur yang digunakan adalah tidak berbentuk dan terang kemudian enjin perisiannya tidak berjaya melakukan pencahayaan yang baik. Animasi watak tidaklah sebaik The Thief dan ini termasuklah rekabentuk tahap permainan yang agak kucar-kacir. Hampir kesemua tahap yang dibina mempunyai laluan yang panjang dan bilik-bilik yang kecil serta tidak kelihatan berada di atas sebuah kapal angkasa.

Walaupun System Shock 2 mempunyai beberapa kelemahan dari segi grafik dan antaramuka tetapi ia mempunyai kepermainan yang baik dan memuaskan. Secara keseluruhannya jika System Shock 2 dibandingkan dengan Half Life, kedua-duanya mempunyai hidangan yang hampir serupa dan keseronokkan yang seimbang. Namun begitu sedikit kekurangan yang terdapat membuatkan System Shock 2 ketinggalan sedikit berbanding Half Life.
 
Yang menarik : Jalan cerita yang baik. Kepermainan yang terperinci. Suasana yang memuaskan.
Kurang menarik : Kelancaran yang perlahan. Rekabentuk tahap. Model watak yang agak kasar.
Kehendak sistem minima : Komputer Pentium 200, 32MB RAM, kad pencepat grafik Direct3D dan 200MB ruangan cakera keras.