Need for Speed : Porsche Unleashed
Oleh Aero

Need for Speed merupakan salah sebuah permainan perlumbaan yang telah menjadi sebuah "piawai" de facto. Daripada sejumlah lapan kereta dalam Need for Speed pertama hinggalah 18 kereta dalam Need for Speed: High Stakes, ia juga memaparkan litar-litar yang mencabar serta mod permainan yang menarik. Malah setiap tajuk Need for Speed telah mendapat pengiktirafan daripada pelbagai pihak.

Oleh kerana Need for Speed telah mendapat lesen kebenaran untuk memaparkan kereta-kereta eksotika seperti Lamborghini Countach, BMW, Lotus dan Mercedes. Maka permainan Need for Speed adalah satu pilihan para peminat kereta eksotika bagi membolehkan mereka memandu kereta-kereta tersebut. Kali ini Need for Speed telah memaparkan kereta Porsche dalam permainan Need for Speed : Porsche Unleashed.

Kenapa Porsche? Mungkin kerana Porsche mempunyai variasi kereta yang terbanyak dan terbaik di dunia. Dengan itu para pemain boleh memandu kereta Porsche kegemaran mereka dan mengenali kereta-kereta lama Porsche. Secara tidak langsung pemain dapat merasai evolusi kereta tersebut sepanjang sejarah 50 tahun kereta tersebut.

Permainan itu akan memaparkan mod-mod permainan seperti Factory Driver dan Evolution. Dalam Factory Driver, anda akan mengambil tempat sebagai pemandu uji kereta di kilang kereta Porsche. Misi anda adalah untuk menguji pandu kereta dalam beberapa laluan sukar dan melakukan pemanduan "skiding" yang dikawal. Kemudian anda boleh memandu uji kereta tersebut di tengah-tengah bandar dan lari daripada polis.

Dalam Evolution, anda akan diberikan sebuah akaun di bank untuk membolehkan anda membeli sebuah kereta Porsche iaitu Porsche model 356 tahun 1948. Dengan kereta itu anda hendaklah memenangi perlumbaan untuk mendapatkan wang bagi memudahkan anda menukar kepada model yang lebih baik. Sesuatu yang menarik dalam mod Evolution ialah nilai kereta yang dibeli akan sentiasa naik, jika kereta tersebut berusia 20 tahun anda mungkin boleh menjual pada harga 10 kali ganda harga belian anda. Ia juga adalah sesuatu yang baik kerana harga kereta Porsche tahun 1990an adalah lebih tinggi daripada Porsche tahun 1948! Semasa berlumba anda boleh memilih mod perlumbaan ringkas yang mana anda akan berlumba dengan tujuh pelumba lain. Anda juga boleh memilih jenis kereta, kelas kereta atau tahun kereta itu dikeluarkan.

Sesuatu yang baru tentang Need for Speed : Porsche Unleashed ialah enjinnya yang telah direkabentuk semula dan tidak menggunakan enjin Need for Speed yang lama. Dengan penukaran enjin perisian ini, grafik dan kepermainan akan dapat ditingkatkan potensinya secara maksima. Kesan khas dan fizik kenderaan juga adalah berlainan kerana kesemua kereta dalam Need for Speed : Porsche Unleashed adalah Porsche sahaja.

Grafik dalam Need for Speed : Porsche Unleashed adalah menarik dan ia lebih baik daripada NFS III dan High Stakes. Model kereta dalam bentuk yang sebenarnya serta ia telah dimodelkan secara terperinci menurut kehendak pengeluar kereta tersebut. dalam segmen Garage, anda boleh melihat enjin 3Dnya berfungsi dengan sepenuhnya dan anda dapat memaparkan kereta tersebut secara dekat dan tepat.

Litar dalam Need for Speed : Porsche Unleashed juga adalah yang terbaik. Kawasan sekeliling dan keadaan litar adalah baik dan yang sebenarnya. Dengan kemudahan paparan yang pelbagai maka anda boleh melihat keadaan sekeliling dengan lebih baik semasa memandu. (Gambar paparan permainan tidak mengambarkan keadaan sebenar skrin kerana perisian penangkap skrin tidak dapat berfungsi dengan baik)

Nampaknya, Need for Speed: Porsche Unleashed adalah salah satu lagi produk terbaik dalam siri Need for Speed. Dapatkanlah ia kerana anda pasti tidak akan menyesal.

Pro : Grafik, kesan khas dan enjin yang baru.
Kontra : Kesan bunyi dan kurang mencabar.

Statistik
Kategori : Perlumbaan kereta
Grafik : 1024x768 dengan Direct3D.
Audio: DirectSound dan DirectSound3D.
Kawalan : Papan kekunci dan tetikus.
Spesifikasi komputer minima : Pentium II-233MHz, 48MB RAM dan 100MB ruangan cakera keras.
Laman Web Need for Speed: Porsche Unleashed : http://www.ea.com