Outlive

Permainan strategi telah muncul dengan banyak dalam tahun 2001 yang dimulakan dengan Black & White dan Warcraft III. Kini sebuah lagi permainan strategi telah muncul dipasaran iaitu Outlive dariapda Continuum Entertainment dan Take 2 Interactive. Kini agak susah hendak membandingkan permainan-permainan strategi di antara satu sama lain. Segalanya mencuba ciri-ciri baru dan kepermainan yang inovatif. Outlive telah mengambil pendekatan untuk meniru permainan lain yang telah berjaya di pasaran dan mereka telah memilih Starcraft.

Outlive bermula dengan kisah bahawa Bumi telah sampai ke penghujung dan hanya dua kumpulan manusia sahaja yang bertahan. Oleh kerana bekalan makanan dan sumber telah berkurangan maka mereka telah berperang untuk mendapatkan sumber seperti minyak dan makanan. Kemudian untuk menghalang dan menyatukan semula dunia di bawah satu bumbung sebuah badan telah ditubuhkan iaitu World Council. Menerusi WC pelbagai aktiviti penduduk dunia telah dilakukan untuk mendapatkan sumber dan berkongsi sumber antara satu sama lain. Masalah mula timbul apabila dua kumpulan utama dalam WC telah mengujudkan sekumpulan manusia mutan dan sekumpulan robot yang mengakibatkan kedua-dua kumpulan ini telah berperang.

Kempen grafik

Dalam Outlive terdapat dua pihak iaitu manusia dan robot dalam tiga jenis kempen permainan. Anda akan bermain sebagai manusia dan bermula dengan menolong WC menjalankan program Outlive. Kemudian program tersebut telah disabotaj oleh golongan pemberontak. Anda akan berhadapan dengan sekumpulan orang gasar yang telah dimutankan dan berkuasa tinggi. Anda pasti terkejut melihatkan bahawa golongan ini lebih berkuasa daripada kereta kebal dan infantri anda.

Kemudian anda telah menggunakan kempen robot untuk menjalankan tugas berlawan dan menghapuskan orang-orang gasar ini. Seterusnya anda akan menyambung kepada kempen ketiga iaitu kempen kerjasama (cooperative). Dalam kempen ini anda hendaklah menjalankan tugas-tugas seperti mencari ahli sains dan menjelajah lanskap yang luas.

Kepermainan

Outlive menawarkan kepermainan yang mudah dan menyerupai permainan strategi yang lain. Pengurusan sumber adalah berbeza di antara dua kumpulan iaitu manusia dan robot dalam Outlive. Anda hendaklah melombong besi atau uranium sebagai bahan mentah kuasa dan untuk menjana kuasa anda hendaklah membina bangunan. Tanpa kuasa bangunan tidak akan beroperasi, penyelidikan akan perlahan, pengeluaran akan mengecil dan seterusnya bagi yang berkaitan. Oleh kerana manusia memerlukan kuasa angin dan robot pula memerlukan kuasa solar, maka manusia lebih memerlukan bangunan berbanding dengan robot.

Antaramuka dalam Outlive adalah menarik dan mudah digunakan. Ia juga mempunyai kemudahan untuk mengerakkan unit daripada satu tempat ke tempat yang lain dengan hanya satu klik tetikus. Kemudian anda boleh menentukan haluan unit walaupun ia melalui laluan berliku. Selain itu terdapat juga antaramuka untuk menyuruh unit berundur dan parameter menolong unit lain.

Kesan sekitar dalam Outlive juga menarik dan memberikan kesan letupan dan kebakaran yang memuaskan. Segala kesan khas seperti radiasi, jejak dan kemusnahan hutan boleh dilihat dengan jelas. Kemudian terdapat juga ciri kepermainan penyiasatan yang memerlukan penubuhan pusat penyelidikan dan maklumat dalam teknologi penyiasatan. Dengan adanya pusat ii anda boleh mendapat tahu apa yang dilakukan oleh musuh anda dengan lebih terperinci. Anda boleh mendapatkan peta rahsia, memantau pemain musuh, melakukan kecurian, melumpuhkan bangunan musuh dan menghalang misil nuklear musuh.

Unit manusia terdiri daripada Builder, Gatherer, Explorer, Dominator, Flamethrower, Transporter, Chopper, Fighter dan Heavy tank. Manakala unit robot pula terdiri daripada Morpher, Marauder, Raider, Twister, Electro, Chaos, Thunder dan Avenger.

Ulasan

Outlive merupakan sebuah permainan yang sesuai untuk pada peminat permainan strategi. Ia sebuah permainan yang tidak mempunyai pepijat dan memberikan kepuasan kepada pemain. Cubalah!

Stats
Spesifikasi sistem (minima) : Pentium 166Mhz, Windows 95 / 98 / 2000, DirectX 7.0 ke atas, 32 MB RAM, 20X pemacu CD-ROM, kad video SVGA dan kad audio DirectX 7.0.
Positif : 40 misi menarik. Grafik memuaskan. Kepermainan yang terbukti bagus. Antaramuka baik.
Negatif : Agak perlahan dan kesan bunyi kurang memuaskan.