Rising Sun : Permainan Perang dunia kedua
Oleh Leadman

Permainan peperangan atau strategi sentiasa mendapat tempat yang khusus dalam hati setiap peminat permainan komputer. Permainan-permainan yang mula-mula dikeluarkan dan ia mencabar minda ialah permainan catur dan kini muncul pula kaedah strategi yang mengabungkan kaedah catur itu dengan suasana peperangan. Oleh kerana permainan strategi ini mempunyai pelbagai kaedah persembahan maka ia mampu memberikan hiburan dalam masa yang panjang.

Rising Sun adalah sejenis permainan bermodelkan tahap platun di Pasifik Selatan dan Barat di antara tahun 1941 - 1945. Anda boleh memegang watak sebagai tentera bersekutu iaitu United States, Great Britain, dan negara-negara Komanwel atau sebagai askar Jepun di mana anda akan melalui 40 senario. Sejumlah 35 daripada senario-senario itu berlaku di tempat-tempat yang sebenar dan selebihnya di tempat-tempat yang tidak jelas kedudukannya. Antara tempat-tempat yang digambarkan dalam Rising Sun ialah India, Burma, dan Hong Kong.

Anda juga boleh mengarahkan askar Kanada apabila mereka mempertahankan Hong Kong dan Kohima. Terdapat tujuh kempen yang dijalankan di kawasan Pasifik di mana tiga daripadanya adalah kempen dinamik (peperangan hebat) dan selebihnya ialah kempen linear. Dalam kempen dinamik, kempen permainan anda akan tamat jika anda terbunuh dan misi-misi dijana secara rawak untuk memberikan satu elemen suspen.

Maklumat yang dipaparkan dalam siri kempen adalah mencukupi untuk memberikan gambaran tentang sesuatu kempen. Untuk membolehkan anda memahirkan diri dengan permainan ini terdapa juga empat kem latihan untuk anda lalui. Malah dengan adanya sistem pertolongan dan buku panduan yang lengkap, dalam masa 30 minit anda sudah pasti akan dapat mendalami permainan ini. Jika anda kalah juga dalam permainan ini bermakna anda belum lagi menelaah buku panduan dan sistem pertolongan permainan tersebut.

Dalam Senario, Rising Sun juga terdapat sistem mata kekuatan (SP) masa seperti siri kempen permainan strategi lain. Selain itu anda juga akan mendapat mata aksi (AP) untuk digunakan semasa pergerakan. Ia bermula dengan 100AP dan boleh menggunakan setiap apa sehingga habis. Setiap rancangan serangan dan pemusnahan hendaklah dilaksanakan dengan baik jika tidak anda pasti akan mengalami kegagalan.

Antaramuka siri kempen adalah menarik dan memberikan sesuatu yang biasa digunakan dalam permainan strategi yang lain. Setiap tahap permainan menawarkan paparan empat kali pembesaran dan peta yang terperinci. Ia juga memberikan kemudahan paparan dalam 3D dan animasi yang dipaparkan dalam pembesaran paparan yang tertinggi. Peta juga boleh dipaparkan pada skrin kecil di tepi skrin permainan bagi memudahkan pemain memaparkan peta kawasan.

Selain daripada peperangan di darat terdapat juga serangan yang boleh dilakukan dari laut. Tentera laut boleh diarahkan untuk menyerang kawasan yang berhampiran dengan pantai atau sebuah pulau. Walaupun serangan yang dilakukan oleh kapal laut dalam berkesan dan mampu melakukan kemusnahan yang maksima tetapi pergerakan kapal adalah lambat dan susah hendak dikawal. Adakalanya pergerakan kapal itu terlalu sempurna dan serangan yang dilakukan adalah tepat tidak seperti yang berlaku dalam perang dunia kedua. Mungkin simulasi yang dilakukan oleh enjin perisian itu terlalu sempurna sehingga mengganggu realiti peperangan.

Ciri-ciri baru yang dipaparkan dalam siri kempen merupakan daya tarikan kepada Rising Sun. Peperangan waktu malam yang diadakan dalam Rising Sun adalah baik dan sepatutnya diikuti oleh pembangun permainan peperangan lain. Peta kelihatan kehitaman dan ia mengambarkan peperangan waktu malam dengan baik. Suatu ciri yang paling menarik dalam peperangan waktu malam ialah penggunaan bom bintang yang mana ia akan ditembak ke udara dan memberikan cahaya yang terang untuk mendedahkan kedudukan musuh semasa ia meletup. Semasa bom bintang itu meletup pergerakan askar-askar akan terhenti dan anda akan dapat melihat kedudukan musuh dengan jelas pada peta peperangan. Sungguh menarik.

Grafik dan audio dalam Rising Sun adalah dalam kelas A. Walaupun permainan peperangan sering memaparkan grafik yang kurang menarik serta kesan bunyi yang kurang memuaskan. Paparan grafik 3D juga digunakan dengan baik dan pada tempat-tempat tertentu. Maklumat-maklumat yang dipaparkan pada skrin ditempat dengan baik dan mudah untuk dibaca oleh pemain. Antara maklumat yang dipaparkan ialah kiraan unit senjata, unit peluru dan unit bom.

Dengan ciri-ciri menarik seperti grafik, audio, kepermainan, buku panduan dan kesinambungan permainan, meletakkan permainan Rising Sun sebagai sebuah calon finalis pertandingan terbaik tahun 2000. Malangnya kelemahan pada segmen kempen telah menarik Rising Sun jatuh ke tahap yang minima. Anda masih boleh menikmati Rising Sun dengan apa yang padanya dan ia merupakan salah satu permainan yang menawarkan kesinambungan permainan yang maksima.

Pro : Sistem panduan yang baik. Grafik dan audio amat menarik. Sistem permainan strategi yang piawai. Buku panduan terbaik.
Kontra : Enjin kurang memuaskan. Kempen yang tetap pada sesuatu tempat.
Statistik
Kategori : Permainan perang "Turn Based"
Grafik : 1024x768 dengan Direct3D.
Audio: DirectSound dan DirectSound3D.
Kawalan : Papan kekunci dan tetikus.
Perkakasan tambahan (jika ada) : Monster Sound MX300, Xentor 32 Max Ultra TNT Video
Spesifikasi komputer minima : Pentium II-233MHz, 64MB RAM dan 166MB ruangan cakera keras.
Laman Web Rising Sun : http://www.talonsoft.com/products/RS.html