Ruangan Soal Jawab Majalah PC

Soalan 1

Pak Cik Kasah,

Saya memiliki sebuah kamera video berjenama Sharp model VL-E70E.  Bagaimanakah dapat saya menggunakan hasil rakamannya di dalam komputer peribadi saya serta apakah perkakasan serta perisian yang harus saya perlukan dalam usaha tersebut?
 

Danny Ng,
Rantau,  N.Sembilan D.K.

Untuk anda menggunakan hasil rakaman baik daripada kamera video mahupun pemain video, anda haruslah terlebih dahulu memastikan komputer peribadi anda diperlengkapkan dengan kad perakam video (Video Capture  Card).  Kad ini digunakan serta dipasangkan pada komputer peribadi samalah seperti kaedah pemasangan kad rangkaian, paparan serta modem dalaman.  Apa yang anda harus lakukan ialah cucuhkan sahaja kad perakam video tersebut ke dalam slot khas yang disediakan pada papan induk komputer peribadi anda.  Kelazimannya ialah ia akan dimasukkan pada slot berasaskan reka bentuk PCI (khususnya apabila kad anda adalah berasaskan rekabentuk PCI) .

Kad perakam video ini seperti juga kad audio turut menyediakan beberapa pot yang kebiasaannya akan tertera perkataan seperti  IN dan  OUT.   Seperti juga perkakasan mutakhir yang lain, kad perakam video kebanyakannya mampu digunakan secara terus tanpa perlu memasang fail pemandu perkakasan tersebut terlebih dahulu yakni ciri pasang terus guna (PLUG & PLAY).  Namun, jika anda mendapati perisian Windows 95 ataupun 98 tidak dapat mengenal pasti perkakasan tersebut.  Maka, eloklah kiranya anda menggunakan fail pemacu yang disediakan bersama kad perakam video oleh pengeluarnya.  Anda boleh menggunakan ikon DISPLAY yang terdapat pada FOLDER bernama CONTROL PANEL.

Jika anda sudah melakukan langkah-langkah yang terdahulu ini, dapatkanlah pula sumber rakaman video samada dari perakam kamera video anda ataupun pemain video anda.   Kebiasaannya sumber kabel daripada kedua alat tersebut akan tertulis serta tertera perkataan VIDEO OUT.   Palamkan sumber kabel tadi kepada pot kad perakam video anda yang tertulis VIDEO IN ataupun perkataan IN sahaja.  Langkah-langkah di atas adalah langkah-langkah langsung yang kebanyakannya berkait langsung dengan aspek perkakasannya.

Dari segi perisiannya pula, kebanyakan pengeluar kad perakam video akan turut menyediakan perisian untuk merakam serta menyunting hasil serta sumber rakaman anda.  Namun, kebanyakannya adalah perisian yang agak ringkas serta terhad keupayaannya.  Jika anda ingin mengeksplotasikan sepenuhnya hasil kerja yakni rakaman anda, eloklah dapatkan perisian penyunting video digital seperti Adobe Premiere.

Untuk makluman anda, kerja-kerja penyuntingan video sebenarnya turut menagih keperluan sumber perkakasan yang agak tinggi.  Oleh itu pastikan anda memiliki komputer peribadi dengan keupayaan pemproses sekurang-kurangnya biarlah Pentium 166 Mhz ataupun yang setahap dengannya.  Dari segi memorinya, anda haruslah memastikan komputer peribadi anda mempunyai memori sekurang-kurangnya 32 MB.  Untuk lebih selamat, sediakanlah sekurang-kurangnya memori sebanyak 64 MB.  Ini adalah untuk memastikan kerja-kerja penyuntingan video dapat dilakukan dengan lebih berkesan. Jika anda berkemampuan serta ingin menggunakan media video ini secara serius, anda juga boleh melengkapkan serta menggantikan cakera keras komputer peribadi anda kepada jenis cakera keras AV SCSI.

Soalan 2

Pak Cik Kasah,

Soalan yang ingin saya ajukan kepada Pak Cik Kasah ialah berkenaan perisian Windows 95 saya.  Setiap kali saya membukanya, ia akan memaparkan kekotak dialog yang memerlukan saya memasukkan kata laluan saya.  Apakah ini akan membolehkan saya seorang sahaja yang boleh menggunakan komputer tersebut?   Bagaimanakah untuk mematikan ciri tersebut?

Mazlina
(menerusi kiriman e-mel)

Janganlah merasa bimbang dengan apa yang anda alami!  Malah, tahukah anda bahawa perisian Windows 95 anda akan dapat digunakan biarpun anda tidak memasukkan kata-kata laluan?  Apa yang perlu anda lakaukan ialah klikkan bebutang CANCEL pada kekotak dialog tersebut.  Penggunaan kekotak dialog sebenarnya mencipta sebuah profail untuk anda sebagai penggunanya.  Jika kenalan ataupun teman-teman anda ingin menggunakan perisian tersebut, apa yang perlu mereka lakukan ialah memasukkan nama login serta kata laluan yang baru.  Ataupun klikkan sahaja bebutang CANCEL dan mereka akan dapat menggunakannya.

Soalan 3

Pak Cik Kasah,

Saya amat berminat untuk membangunkan laman Web.  Soalan saya ialah apakah  PageMill itu sebuah perisian serta di manakah saya boleh memperolehinya?

Jebat@quickiemail.com
(menerusi kiriman e-mel)

Untuk makluman anda, kaedah asas yang digunakan untuk membangunkan laman-laman Web ialah dengan menggunakan bahasa tag yang dikenali sebagai HTML (HyperText Markup Language).  Lanjutan daripada penggunaan kaedah tersebut, turut mendapat perhatian sekarang ialah bahasa pembangun laman Web seperti DHTML, XML dan sebagainya.   Biarpun bahasa pembangun laman Web seperti HTML adalah mudah namun untuk memahirinya, sedikit latihan serta ketekunan adalah diperlukan.

Namun kaedah-kaedah ini sudah mula disaingi dengan kehadiran pembangun perisian yang canggih, berupaya serta mudah guna.  Ada diantara perisian tersebut diberikan secara percuma, perisian-perisian tersebut bolehlah diperolehi melalui tapak-tapak Web seperti  www.download.com , www.tucows.com , www.shareware.com dan sebagainya.  Manakala perisian-perisian pembangun Web komersial yang popular adalah Frontpage dari Microsoft, Dreamweaver dari Macromedia dan PageMill daripada syarikat Adobe.  Untuk mendapatkan perisian-perisian tersebut, anda bolehlah membelinya menerusi syarikat-syarikat tempatan yang mengedarkan perisian tersebut.

Selain daripada itu, anda juga berpeluang mencuba dahulu perisian tersebut untuk tempoh masa yang tertentu seperti 30 ataupun 15 hari.  Ini dapat anda lakukan dengan memindah terima perisian versi cubaan yang disediakan pada tapak-tapak Web syarikat-syarikat tersebut.

Soalan 4

Pak Cik Kasah,

Masalah saya ialah dengan akaun e-mel di Yahoo Mail.   Ia telah tidak berfungsi biarpun saya tidak pernah mengubah nama pengguna mahupun kata laluan pada akaun e-mel saya.  Apakah punca masalahnya?

Syafiq Hazmy Bin Zulhaimi.
Wangsa Melawati,
Kuala Lumpur.
 

Antara punca serta kekerapan berlaku permasalahan sedemikian ialah apabila para pengguna terlupa akan nama akaun ataupun kata laluan mereka.  Ada waktunya ia juga berpunca dari kesilapan memasukkan kata laluan yang terkadang mungkin disebabkan oleh penggunaan abjad huruf besar ataupun kecil yang sama dengan kata laluan asal.  Misalnya jika kata laluan asal ialah mpc99, maka dengan menaipkan MPC99 tidak akan dapat membuka akaun e-mel anda.   Anda juga boleh mendapatkan khidmat bantuan pihak Yahoo dalam mengesan permasalahan akaun e-mel anda.

Satu lagi kemungkinan besar ialah perkhidmatan akaun e-mel anda mungkin telah dimansuhkan.  Ini seringkali dilakukan oleh penyedia perkhidmatan tersebut apabila mereka mendapati sesebuah akaun itu tidak aktif untuk tempoh waktu yang lama.  Nasihat saya ialah dapatkan sebuah akaun e-mel yang baru dan nyatakan dengan segera kepada teman-teman serta kenalan anda alamat e-mel baru anda.  Pastikan juga anda kerap membukanya untuk memastikan ianya terus aktif.

jika anda mempunyai sebarang masalah komputer sila hantarkan e-mel kepada pak cik kasah