SoalJawab IT III
 

Soalan 1

Baru-baru ini, saya telah membeli CD perisian Autocad 2000.  Masalahnya ialah apabila saya memasang serta kemudiannya membuka perisian tersebut, ia memaparkan satu mesej seperti berikut "Sorry, this pre-release product has expired".  Apakah puncanya dan bagaimanakah cara untuk mengatasinya?

Daripada
Hisham (hisham@hotmail.com)

Jawapan 

Daripada maklumat yang anda berikan itu, besar kemungkinan CD yang anda perolehi itu adalah versi percubaan ataupun betanya.  Mungkin untuk menggunakan perisian tersebut anda boleh mencuba mengubahkan penetapan masa dan tarikh pada tetingkap CONTROL PANEL (mungkin anda boleh mencuba mengubahkan tarikh itu ke belakang) dan mencuba semula perisian tersebut.

Eloknya ialah anda mendapatkan perisian versi Autocad 2000 yang mutakhir dari pengedar sah perisian tersebut.  Paling pentingnya pastikan anda hanya membeli perisian tulen, ini adalah kerana jika anda menghadapi apa-apa permasalahan kelak, mereka akan dapat membantu serta memberikan khidmat nasihat untuk anda.
 


 

Soalan 2

Saya menggunakan perisian pelayar Internet Explorer untuk melayari Internet. Masalahnya ialah setiap laman yang saya lawati tidak tertera gambar serta imejnya, apa yang dipaparkan hanyalah teks sahaja.  Untuk mendapatkan gambar tersebut, saya terpaksa mengacukan tetikus pada lokasi gambar kemudiannya mengklikkan bebutang kanan tetikus dan memilih pilihan SHOW PICTURE.  Apakah yang saya harus lakukan?

Daripada
Zulhilmei Rohani (zulpas@hotmail.com)

Jawapan 

Jangan bimbang, anda menghadapi masalah sedemikian kerana ciri paparan gambar pada perisian pelayar anda telah dimatikan.  Apa yang perlu anda lakukan ialah hidupkan semula ciri tersebut.  Untuk menghidupkan ciri tersebut, pada perisian pelayar anda iaitu Internet Explorer, dapatkan menu  TOOLS dan pilih pilihan INTERNET OPTIONS.  Sejurus membuat pilihan tersebut, anda akan mendapati kekotak dialog INTERNET OPTIONS dipaparkan.

Klik pada bahagian terakhirnya yang bernama ADVANCED dan pada kekotak bernama SETTING dapatkan pula bahagian bernama MULTIMEDIA, klikkan kekotak bernama SHOW PICTURES dan klikkan bebutang OK.  Cara di atas sebenarnya adalah kaedah yang digunakan untuk versi IE 5.0, jika anda menggunakan versi terdahulu seperti versi IE 3.0, maka caranya agak berlainan sedikit.  Ikut langkah seperti di bawah untuk menghidupkan ciri tersebut pada versi 3.0.

Pada perisian pelayar IE 3.0, dapatkan menu VIEW dan pilih pilihan OPTIONS, selepas membuat pilihan tersebut, kekotak dialog OPTIONS akan dipaparkan.  Klik pada bahagian bernama GENERAL dan perhatikan tajuk bernama MULTIMEDIA, klikkan kekotak bertanda SHOW PICTURES dan klikkan bebutang OK.  Mudahkan.
 


 

Soalan 3

Untuk makluman Pak Cik, saya memiliki sebuah komputer peribadi dengan spesifikasi berikut iaitu pemproses Pentium 133, CD-ROM berkelajuan 36X, memori sebanyak  32 MB EDO-RAM serta menggunakan perisian Windows 95.

Soalan saya ialah bagaimanakah caranya untuk mengaktifkan pemacu CD-ROM ketika cakera keras saya masih kosong iaitu sebelum memasang perisian sistem pengoperasian?

Daripada
Mohd.Hafiz Mohd (mohdhafiz@netscape.net)

Jawapan 

Kelazimannya apabila kita membeli sebuah komputer peribadi, penjualnya akan membekalkan sebuah disket yang mengandungi fail pemandunya (DRIVER).  Andaian saya ialah mungkin anda sudah menhilangkannya atau tidak memperolehi disket tersebut daripada penjualnya semasa membeli komputer anda.  Anda boleh cuba menghubungi semula penjual tersebut dan dapatkan perisian tersebut daripadanya.

Selain dari itu, cara yang lebih mudah ialah dengan mendapatkan perisian tersebut daripada Internet.  Anda boleh mendapatkan perisian tersebut di tapak-tapak Web yang khusus menyediakan fail-fail pemandu untuk pelbagai perkakasan komputer.  Antara tapak Web yang popular ialah www.driversguide.com, bertandanglah ke tapak Web tersebut dan pindah terima perisian pemandu CD-ROM anda.
 


 

Soalan 4

Baru-baru ini, saya telah membeli sebuah cakera keras baru untuk komputer peribadi saya.  Cakera keras baru saya mempunyai kapasiti sebesar 4.3 GB.  Namun, apabila memasang dan menghidupkan semula komputer tersebut, ia membaca serta mengenalinya sebagai cakera keras berkeupayaan 2.05 GB.  Apakah puncanya serta bagaimanakh cara untuk mengatasinya?

Daripada
Ahmad Hisyam (syam_ahm78@hotmail.com)

Jawapan

Apa yang lazim kita dengar ialah masalah sedemikian seringkalinya dihadapi oleh komputer peribadi yang menggunakan papan induk serta BIOS yang tidak menyokong cakera keras yang berkapasiti melebihi 528 MB.  Untuk menyelesaikan masalah tersebut, biasanya sebuah kad yang dipanggil sebagai kad pengawal penyokong LBA (LARGE BLOCK ADDRESSING) dipasangkan  pada sesebuah komputer untuk menyokong cakera keras berkapasiti tinggi.

Selain daripada rumusan serta penyelesaian perkakasan, turut terdapat ialah perisian penyokong LBA.  Perisian ini biasanya disediakan bersama dengan cakera keras oleh pembuat cakera keras tersebut.  Dalam konteks masalah anda, saya percaya besar kemungkinannya adalah masalah yang berkait dengan pembahagian cakera keras (PARTITION).  Sediakan sebuah disket pemula (bootable disk) dengan fail-fail seperti FDISK kemudian mulakan komputer anda dengan disket tersebut.

Taipkan arahan FDISK dan anda akan dapat melihat beberapa pilihan dipaparkan. Pilih pilihan keempat dan anda akan dapat melihat pembahagian cakera keras anda.  Jika ianya mempunyai dua bahagian atau lebih, anda masih dapat menggunakannya sebagai pemacu seterusnya iaitu D dan E.  Atau jika anda ingin menggunakannya sebagai sebuah pemacu, apa yang anda boleh lakukan ialah taipkan FDISK  semula, buangkan pembahagian yang sedia ada dan kemudiannya membuat pembahagian semula cakera keras dan memilih untuk menggunakan seluruh cakera keras sebagai sebuah pemacu.  Ingat, apabila anda menggunakan arahan FDISK, maklumat serta data anda pada cakera keras akan dihapuskan.  Oleh itu, pastikan anda membuat salinan fail yang penting serta kritikal.

Disamping itu anda juga boleh mendapatkan perisian-perisian utiliti seperti DiskManager dan sebagainya yang boleh anda perolehi di kedai-kedai komputer ataupun di Internet.
 


 

Soalan 5

Pak Cik Kasah,

Baru-baru ini saya telah membeli sebuah pemacu CDRW  luaran yang menggunakan pot selari, apa yang menjadi masalahnya ialah ada waktunya ianya tidak dapat berfungsi dengan betul.  Apakah yang harus saya lakukan?

Daripada
Ahmad Farouk (frq10@tm.net.my)

Jawapan

Sebab serta punca ia tidak berfungsi dengan betul mungkin pelbagai.  Namun, selain daripada aspek kerosakan pada barangan tersebut, ia juga besar kemungkinan berpunca dari pemasangan perisian serta perkakasan yang tidak betul.  Untuk memastikan CDRW anda tidak mengalami kerosakan, cuba gunakan pemacu itu pada komputer peribadi yang lain.  Jika masih bermasalah, andaian yang kita boleh lakukan ialah CDRW anda beli itu memanglah bermasalah.  Hantarkan semula kepada penjual untuk menukar ganti ataupun membaik pulih barangan anda tadi.

Disamping kemungkinan berpunca dari masalah perkakasan serta perisian, penetapan mod yang tidak betul juga mungkin menjadi punca ianya tidak berfungsi dengan betul.  Ini adalah kerana apabila menggunakan CDRW pot selari penetapan pada BIOS juga haruslah diubah. Perubahan tersebut biasanya boleh dibuat pada bahagian PERIPHERAL SETTINGS, ubahkan mod pot selari (PARALLEL PORT MODE) daripada NORMAL kepada EPP manakala IRQnya pula ubahkan kepada 7 dengan penetapan pot 378h.  Anda juga boleh memilih penetapan IRQ  5 tetapi pastikan pula penetapan potnya adalah 278h.  Mungkin dengan cara ini masalah anda dapat diselesaikan.  Jika masih tak berjaya menyelesaikan masalah anda, hubungi kakitangan tempat anda membeli barangan tersebut untuk mendapatkan bantuan serta khidmat nasihat.