Pada tahun terawal kemunculan Internet, pembangunan tapak-tapak Web banyak melibatkan penggunaan teks untuk menyampaikan kandungannya kepada pengguna. Bagaimanapun, keadaan kini sudah berubah apabila teknologi Web terus berkembang dan mampu mengendalikan unsur multimedia (seperti grafik, bunyi dan video), integrasi pengkalan data, pengemaskinian kandungan laman secara dinamik, dan interaksi kandungan Web dengan pengguna.
Seperti yang kita saksikan hari ini, pembangunan Web terus melibatkan penciptaan dan pengelolaan kandungan dengan penggunaan teknik dan peralatan yang lebih canggih untuk memperolehi hasil yang terbaik. Malah kemunculan aplikasi terbaru Web mampu memperhebatkan lagi kegunaan Web seperti transaksi dalam talian, permainan (games) interaktif, siaran audio-visual dan media elektronik wujud.
Kemahiran Web
Sungguhpun begitu, mereka yang ingin menceburkan diri dalam bidang yang mencabar ini haruslah bersedia untuk menguasai beberapa kemahiran teknikal seperti pengaturcaraan, rekabentuk, pengurusan dan sebagainya. Kita juga sedia maklum, Web adalah medium untuk menyampaikan maklumat, jadi pihak pembangunnya perlu berkebolehan untuk menganalisa maklumat, melihatnya dari perspektif berbeza, dan memilih kaedah penyampaian yang berkesan.
Biasanya pengalaman secara langsung (hands-on) menjadi cara terbaik dan paling cepat untuk menguasai kemahiran dalam pembangunan tapak Web. Bahkan pembangun yang berpengalaman sekalipun memerlukan masa untuk mendapatkan hasil yang terbaik. Mereka perlu membuat kajian mengenai rekabentuk dan sumber dari tapak-tapak Web yang sudah berjaya dan hasilnya boleh diterapkan ke dalam proses pembangunan tapak Web yang selanjutnya.
Jika itu masih belum mencukupi, pembangun Web mungkin perlu membina koleksi rujukan sendiri seperti buku, majalah, dan 'bookmark' laman-laman Web bagi mendalami bidang-bidang yang berkenaan. Buku misalnya, boleh dijadikan sumber yang baik dan panduan berguna untuk pembangunan Web yang bakal dilaksanakan kelak. Untuk pembelajaran yang lebih formal pula, institusi pengajian tinggi (IPT) adalah pilihan yang tepat untuk menimba ilmu.
Selain HTML
Berdasarkan kepada tapak-tapak Web terbaik yang pernah dicipta setakat ini, adalah mustahil pembangunnya mahir dengan bahasa aturcara HTML sahaja. Dengan kata lain, mana-mana alat pembangun tambahan yang sesuai masih perlu digandingkan bersama bahasa aturcara yang sedia ada untuk menjamin hasil yang terbaik. Tambah pula, peralatan Web terkini seperti Dreamweaver telah dicipta sedemikian rupa untuk pengendalian yang lebih mudah.
Sungguhpun begitu, para pembangun Web professional masih mengakui bahawa pengetahuan yang mendalam mengenai bahasa aturcara seperti HTML tetap penting untuk membina laman-laman Web yang berkualiti-tinggi dan lebih baik penampilannya. Pada masa yang sama, penggunaan beberapa alat penyuntingan Web tambahan, khususnya yang terkini tidak harus diketepikan begitu sahaja kerana masing-masing memiliki kelebihan tersendiri.
Bahkan, dari masa ke semasa, bahasa aturcara yang sedia ada terus dipertingkatkan fungsinya walaupun muncul bahasa yang lebih moden. Oleh yang demikian, kemahiran pembangun Web haruslah seiringan dengan penguasaan bahasa lain seperti Perl, VRML, XML, JavaScript, DHTML dan sebagainya. Perlu juga diambil kira ialah pengalaman kerja selama beberapa tahun dalam kerjaya yang melibatkan bahasa-bahasa berkenaan dapat membantu beberapa proses penting pembangunan tapak-tapak Web, misalnya penentuan rekabentuk dan perancangannya.
Aplikasi Web
Sebuah tapak Web masih boleh dibina walaupun menggunakan sebuah penyunting teks sahaja. Tetapi hasilnya tidaklah seberapa kerana tapak-tapak masa kini turut diperkayai dengan unsur multimedia seperti grafik, audio dan video dan ini memang memerlukan alat tambahan. Maknanya, pembangun Web sekurang-kurangnya mahir dengan alat penyuntingan teks seperti HTML dan mana-mana program grafik seperti Adobe Photoshop dan Paintshop Pro.
Pada asasnya sebuah tapak Web melibatkan pautan (link) laman-laman kepada pengkalan datanya yang kadangkala bersifat kompleks. Untuk mengatasinya, peralatan yang boleh menyediakan persekitaran pembangunan bersepadu (IDE) sesuai digunakan. Contohnya produk seperti Sapphire Web, Build-IT, dan Visual InterDev membolehkan pembangun Web mencipta pelbagai komponen tapak Web selain mampu menguruskan proses pembangunannya.
Menyedari hakikat ini, syarikat-syarikat gergasi perisian seperti Microsoft, IBM, Apple, Adobe, Corel, Macromedia, sedang giat menghasilkan pelbagai program untuk menyokong pembangunan tapak-tapak Web. Lazimnya, perisian yang dihasilkan itu memiliki kelebihan yang tersendiri misalnya kuasa pemprosesan grafik yang canggih, susun atur yang lebih baik, pengendalian yang mudah dan lain-lain lagi. Ringkasnya, alat penyuntingan Web perlu digunakan bersama aturcara dan kedua-duanya perlu serasi dengan konsep dan rekabentuk tapak Web yang dibangunkan itu.
Seperti mana tapak Web biasa, pembangunan tapak Web e-dagang juga perlukan kemahiran bahasa aturcara di samping program tambahan yang sesuai. Sebuah gedung Web misalnya boleh dibangunkan dengan sumber-sumber sendiri atau menggunakan perisian gedung Web yang siap untuk digunakan. Di pasaran terdapat banyak pilihan samada untuk gedung Web berskala kecil, sederhana dan besar. Lebih mencabar lagi apabila sesebuah gedung Web itu perlukan sokongan tambahan seperti piawaian SSL, SET, pengkalan data, katalog barangan dan sebagainya.
Cabaran Masa Depan
Selain kemahiran, dua cabaran lain yang perlu ditangani oleh pembangun Web ketika ini ialah keupayaan pelayar Web dan jalur lebar (bandwidth) yang sedia ada. Secara umumnya dua pelayar Web popular iaitu Microsoft Internet Explorer dan Netscape Navigator boleh menangani standard yang biasa digunakan pada tapak-tapak Web. Namun ada standard tertentu yang tidak disokong penuh oleh sesetengah pelayar Web lebih-lebih lagi versi yang terdahulu.
Sementara itu jalur lebar juga boleh mempengaruhi keberkesanan format media yang hendak disampaikan kepada para pengguna Internet. Fail-fail audio dan video misalnya mengalir dengan perlahan apabila menggunakan modem berkelajuan rendah dan hanya meningkat jika talian dan modem yang lebih pantas digunakan. Dengan mengenepikan masalah trafik Internet, prestasi jalur lebar masih dianggap satu cabaran dalam pembangunan Web.
Sekiranya masalah jalur
lebar segera diatasi, samada menggunakan talian berkelajuan tinggi atau teknik
transmisi yang lebih berkesan, maka banyak kandungan audio-visual atau multimedia
dapat disampaikan menerusi tapak-tapak Web ke serata dunia. Pada masa yang sama,
pembangun Web perlu gigih melengkapkan diri mereka dengan kemahiran baru, selain
mengharapkan kepada teknologi yang lebih baik untuk memudahkan pembangunan Web.