Melihat pada namanya sahaja, memang ramai yang beranggapan bahawa Windows 2000 adalah pengganti atau versi tingkat upaya untuk Windows 98. Sebenarnya tidak, kerana sistem operasi (OS) ini disasarkan untuk perniagaan dan bukannya untuk para pengguna biasa di rumah. Bagaimanapun, perniagaan yang sedang menggunakan Windows NT bersama-sama Windows 95/98 ketika ini dijangka mendapat lebih manfaat dengan kemunculan Windows 2000.
Sistem operasi terbaru daripada Microsoft ini terdiri daripada empat versi utama iaitu Windows 2000 Professional, Windows 2000 Server, Windows 2000 Advanced Server, dan Windows 2000 DataCenter. Persoalannya sekarang, perlu atau tidak pengguna Windows 98 sekarang beralih kepada Windows 2000. Jawapannya, tunggu dan lihat. Ini adalah kerana proses tingkat upaya melibatkan masalah keserasian perkakasan dan perisian yang sedang digunakan.
Jika anda masih ingat Windows 2000 pada mulanya dikenali sebagai Windows NT 5.0, iaitu lanjutan Windows NT 4.0 yang disasarkan untuk perniagaan. Ini menjelaslah kepada kita bahawa, Windows 2000 bukanlah versi tingkat upaya untuk Window 9x. Sebaliknya OS baru yang masih serasi dengan kebanyakan perisian untuk Windows 9x ini menggunakan asas 32-bit yang tidak lagi terikat dengan DOS seperti mana Windows 9x yang berasaskan 16/32-bit.
Apa yang menarik mengenai Windows 2000 berbanding Widows 98 ialah dari segi kebolehpercayaan, penggunaan yang mudah dan berskala besar. Umpamanya Windows 2000 dikatakan jarang sekali menghadapi masalah crash berbanding Windows 98. Proses reboot juga jarang dilakukan walaupun ia melibatkan perubahan secara berterusan pada fail-fail sistemnya. Jadi kelebihan seperti ini jelas mencerminkan bahawa Windows 2000 bersifat lebih stabil.
Sementara itu, Windows 2000 Professional yang juga merupakan versi untuk pengguna akhir turut menyokong penggunaan sehingga dua pemproses atau CPU. Kesannya, para pengguna boleh mendapat lebih manfaat daripada penggunaan beberapa unit pemproses, yakni satu ciri unik yang tidak dapat dinikmati oleh pengguna Windows 9x. Bagi mereka yang sering bergerak, Windows 2000 turut menawarkan kecekapan dalam pengurusan kuasa dan fail.
Sebagai tambahan, OS yang telah terjual lebih sejuta salinan ini turut menyokong ciri-ciri popular yang juga terdapat pada Windows 98. Misalnya ia dikatakan serasi dengan peranti yang menggunakan teknologi terkini seperti USB, IEEE-1394 (FireWire) dan AGP. Walaupun Windows 2000 tidak menyokong penuh penggunaan sesetengah peranti pengguna yang sedia, namun sokongan terhadap OS ini dijangka meningkat khususnya bagi peranti di masa depan.
Sekiranya dilihat pada kelebihan Windows 2000 seperti mana yang dijelaskan tadi, mungkin ada yang sudah tidak sabar-sabar, lalu mengambil keputusan untuk mengantikan Windows 98 yang sedang digunakan. Kenapa anda perlu terburu-buru, sedangkan masih ramai yang mengambil keputusan untuk berdiam diri. Alasannya cukup jelas, kerana proses peralihan ini akan melibatkan beberapa isu dan masalah yang perlu diberikan perhatian yang sewajarnya.
Difahamkan Windows 2000
perlukan spesifikasi sistem yang lebih tinggi. Malah Microsoft sendiri telah
menetapkan sekurang-kurangnya sebuah PC dengan pemproses 133MHz, 64MB RAM dan
2GB cakera keras untuk menjalankan OS ini. Bagaimanapun, penggunaan CPU yang
lebih pantas bersama RAM dan cakera keras yang berkapasiti lebih besar adalah
disarankan. Jika keperluan ini gagal dipenuhi, maka wajarkah Windows 98 disisihkan.
Tambah pula keserasian telah menjadi isu penting dalam justifikasi untuk meningkat upaya. Sebelum keputusan itu dibuat, pengguna harus menganalisa sistem mereka secara terperinci untuk mengetahui sejauh manakah Windows 2000 serasi dengan perkakasan dan perisian yang sedang digunakan. Proses penganalisaan sistem tersebut boleh dilaksanakan dengan bantuan tapak Web Microsoft dan tapak Web pembangun perkakasan dan perisian berkenaan.
Antara perkakasan yang dijangka menghadapi masalah tidak serasi dengan Windows 2000 buat masa ini meliputi pengimbas dan kamera digital, kad video 3D, peranti permainan bukan ciptaan Microsoft, peranti MP3 mudah-alih, dan lain-lain perkakasan pengguna. Misalnya, jika Windows 2000 tidak menyediakan driver untuk peranti tertentu, maka pengguna mungkin perlu mendapatkan driver berkenaan daripada tapak Web pihak yang mengeluarkannya.
Selepas Windows 2000, Microsoft dijangka tampil sekali lagi tetapi kali ini bersama pengganti Windows 98 yang dikenali sebagai Windows Millenium yang masih menjalani ujian beta. Mungkin ini adalah salah satu sebab kenapa pengguna Windows 95/98 sekarang tidak perlu terburu-buru sehingga meningkat upaya kepada Windows 2000 yang baru dilancarkan itu. Jadi, eloklah pengguna bersabar sehingga pengganti Windows 98 itu muncul tidak lama lagi.
Di peringkat awal pembangunannya, Microsoft merancang untuk mencipta sebuah OS yang menggunakan teknologi NT. Namun, perancangan tersebut akhirnya berubah apabila syarikat gergasi perisian itu telah memutuskan bahawa Millennium akan dimajukan tetapi masih berlandaskan kepada teknologi Windows 95. Oleh itu, tidak hairanlah jika ada pihak yang mengatakan bahawa Millenium adalah lanjutan kepada Windows 98 SE bagi kegunaan PC desktop.
Bagi para pengguna di rumah dan penggemar games, pembangunan Millenium bolah dianggap sebagai berita baik kerana mereka tidak perlu beralih kepada OS baru yang menggunakan kod baru sepenuhnya seperti Windows 2000. Walaupun perbezaan di antara Millenium dan Windows 98 tidak ketara, namun penggunaannya dijangka lebih mudah dengan pelbagai ciri terkini, selain lebih pantas dan lebih stabil berbanding Window 95/98 yang sebelumnya.
Perbandingan Di Antara Windows 2000 dan Windows 98
Windows
2000
|
Windows
98
|
Merupakan pengganti untuk Windows NT 4.0 | Merupakan pengganti untuk Windows 95 |
Sebuah sistem operasi (OS) khusus untuk perniagaan | Sebuah sistem operasi khusus untuk pengguna |
Memiliki kemudahan terkini untuk kegunaan perniagaan | Memiliki kemudahan terkini untuk kegunaan pengguna |
Dikatakan lebih berkuasa dengan prestasi lebih stabil | Dikatakan kurang berkuasa dengan prestasi kurang stabil |
Harga permulaannya masih tinggi buat masa ini | Harganya dianggap berpatutan dan mampu dimiliki |
Memerlukan spesifikasi sistem yang lebih tinggi | Memerlukan spesifikasi sistem yang lebih rendah |
Tidak serasi dengan perisian dan perkakasan tertentu |
Serasi dengan kebanyakan perisian dan perkakasan |
Menawarkan ciri-ciri sistem yang lebih selamat | Menawarkan ciri-ciri sistem yang kurang selamat |
Sesuai digunakan untuk sistem pelayan perniagaan |
Lebih sesuai untuk kegunaan PC dekstop pengguna |
Dicipta untuk sistem perangkaian yang selamat | Bukan dicipta untuk kemudahan sistem perangkaian |
Sesuai untuk kegunaan komputer notebook perniagaan | Sesuai untuk kegunaan komputer notebook peribadi |
Tidak menyokong permainan (games) berasaskan DOS |
Boleh menjalankan permainan (games) berasaskan DOS |